Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) telah mengadakan majlis menaikkan dan pengagihan bendera yang berlangsung di kawasan lapang perkarangan jabatan tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Kampung Kawasan 5 RPN Lambak Kanan, Haji Hamidi bin Haji Wahid sebelum tetamu kehormat menyerahkan bendera kebangsaan kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei bagi upacara menaikkan bendera dengan diiringi lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan.
Acara dilanjutkan dengan pengagihan bendera-bendera dan penyampaian sijil penghargaan kepada para penghulu, persatuan-persatuan, pihak swasta dan NGO yang berlangsung di Dewan Teater, JDBM.


