Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agih daging korban secara pandu lalu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Ibadah korban merupakan satu amalan sunat yang amat dituntut dalam Islam sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, serta sebagai usaha mendekatkan diri kepada-Nya. Sehubungan itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri, telah menganjurkan majlis ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

    Majlis yang berlangsung di kediaman Pemangku Penghulu Mukim Mentiri merangkap Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kg Panchor, Faidil Rosemady bin Mohamad, turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong memucang-mucang dan melapah daging korban.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir Raya secara beramai-ramai bagi memohon keberkatan sebelum kerja-kerja melapah dimulakan. Sebanyak dua ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis tersebut.

    Daging-daging korban kemudian telah diagihkan secara drive-thru kepada para peserta korban serta golongan asnaf. Penyampaian daging disempurnakan oleh Faidil Rosemady bin Mohamad, yang turut mengetuai bacaan takbir Hari Raya dan doa kesyukuran sebagai penutup majlis.

    “Semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh penduduk kampung sangat terserlah. Saya harap budaya memucang-mucang ini akan terus dikekalkan dalam menyatukan hubungan dan persefahaman di kalangan masyarakat,” ujar beliau semasa ditemui media.

    Majlis ini merupakan aktiviti tahunan MPK yang bertujuan merapatkan silaturahim serta mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung, di samping merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda sempena hari mulia ini.

     Semua di atas: Antara suasana semasa aktiviti berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda