Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agong hantar perutusan tahniah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam ke-33, Yang Di-Pertuan Agong Malaysia dan pemimpin-pemimpin Malaysia telah menghantar perutusan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dalam perutusan Baginda telah menzahirkan rasa syukur atas hubungan akrab dalam kalangan para pemimpin dan rakyat jelata Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

    “Adalah menjadi harapan Paduka Anakanda moga hubungan rapat serta kerjasama erat yang telah sekian lama terjalin di antara kedua-dua negara akan terus berkekalan dan bertambah kukuh di masa hadapan hendaknya,” ujar Baginda yang merujuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai Paduka Seri Ayahanda.

    Yang Di-Pertuan Agong Malaysia turut menyatakan keyakinan bahawa di bawah pemerintahan Baginda Sultan, Negara Brunei Darussalam akan terus mencapai kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan.

    Yang Di-Pertuan Agong mengakhiri perutusan dengan mendoakan semoga Baginda Sultan akan sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah S.W.T agar dapat terus memimpin Negara Brunei Darussalam dengan aman dan makmur. Turut menyembahkan perutusan tahniah kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga melahirkan rasa syukur atas hubungan erat dan mesra yang terjalin di antara kedua-dua buah negara.

    Beliau menyatakan harapan dengan terlaksananya keputusan-keputusan yang dipersetujui bersama pada Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 yang lalu, hubungan kedua-dua buah negara akan dapat dipertingkatkan lagi. Beliau turut mendoakan semoga jalinan persahabatan dan persefahaman antara kedua-dua buah negara akan terus segar, utuh dan bertambah padu demi manfaat bersama.

    Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sembah perutusan tahniahnya pula merakamkan penghargaan yang sangat tinggi kehadapan majlis Baginda Sultan atas perkenan Baginda untuk menerima kunjungan beliau dan delegasi Malaysia pada 31 Januari yang lalu.

    Beliau turut menghargai perbincangan dan peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu menyentuh hubungan dua hala dan antarabangsa. Beliau percaya bahawa dengan sokongan padu Baginda Sultan, hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara akan dapat diperkukuhkan lagi demi manfaat bersama.

    Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Anifah Haji Aman turut menyembahkan perutusan tahniah kehadapan majlis Baginda Sultan dengan turut menyatakan perasaan sangat bersyukur dengan hubungan akrab yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Beliau mendoakan semoga jalinan tali persahabatan itu akan terus kukuh dan bertambah utuh pada masa hadapan demi manfaat bersama.

    Datuk Seri Anifah turut menjunjung kasih dan merafak penghargaan atas kerjasama dan sokongan padu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada kerajaan Malaysia selama ini di pelbagai peringkat termasuklah dalam Mesyuarat Tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) mengenai situasi minoriti Muslim Rohingya di Myanmar yang telah berlangsung pada 19 Januari 2017 di Kuala Lumpur.

    Pemimpin-pemimpin Malaysia mengakhiri perutusan-perutusan tahniah dengan mendoakan semoga Baginda Sultan dan kerabat Baginda serta seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam terus dilimpahi rahmat dan kurnia serta sentiasa di bawah perlindungan Allah S.W.T dan diberi kesejahteraan dan kemakmuran berpanjangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda