Sunday, July 27, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agong hargai usaha keras urus ekonomi

    KUALA LUMPUR, 2 JUN – Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, hari ini telah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI serta penjawat awam yang telah berusaha keras dalam mengurus ekonomi dan pembangunan Malaysia.

    Sultan Ibrahim bertitah kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.

    “Walaupun ada pihak yang memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi,” titah Seri Paduka Baginda.

    Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

    Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

    Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 2 Jun. – Bernama

    Hadir pada istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan barisan Menteri Kabinet. 

    Sultan Ibrahim turut mengingatkan kepada penjawat awam supaya memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kedua, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

    “Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan, serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah baginda.

    Seri Paduka Baginda menegaskan, penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

    “Pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik.

    “Setiap perbelanjaan juga mestilah dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau Ahli Parlimen untuk memancing undi, sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar,” titah Seri Paduka Baginda. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda