Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan lbrahim di Istana Nurul Iman.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia berada di negara ini bagi menyembahkan Warkah Persilaan kehadapan majlis Baginda Sultan.
Baginda Sultan dan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya beredar ke Cheradi Laila Kenchana bagi majlis mengadap.
Semasa majlis mengadap, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyembahkan Warkah Persilaan kehadapan majlis Baginda Sultan untuk berangkat ke Majlis Pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-17 yang akan diadakan pada 20 Julai nanti.
Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia kemu-diannya berkenan berangkat ke majlis santap tengah hari di Cheradi Ratna Otika.
Berangkat sama pada kedua-dua majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan kemudiannya berkenan berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi mengucapkan selamat berangkat kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan lbrahim.
Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Malaysia di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia.