BINTULU, 11 SEPT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengetuai Kembara Kenali Borneo, meneruskan perjalanan ke daerah Sibu yang melibatkan perjalanan kira-kira 213 kilometer (km), hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat dalam kembara berkenaan yang memasuki hari kesembilan itu.
Pada hari ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan berangkat ke dua lokasi persinggahan di daerah Bintulu antaranya mengadakan kunjungan di Rumah Panjang Raymond Plen, Ulu Sebauh.
Rumah panjang yang terletak 44km dari sini, menganjurkan beberapa acara sambutan meraikan keberangkatan tiba Seri Paduka berdua antaranya program memasak dan santapan tengah hari bersama komuniti, memancing serta pengurniaan bantuan kepada golongan asnaf.
Usai berangkat ke rumah panjang berkenaan hingga 12:30 tengah hari, Seri Paduka berdua dijadualkan berkenan menunaikan solat di Masjid Darul Ibadah, Tatau, sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu.
Dalam perjalanan itu, pasangan diraja berkenaan turut dijadualkan mengadakan persinggahan di luar Tokong Yu Lung San Tian En Si, sebuah tokong Cina terkenal yang terletak di pinggir bandar Sibu sebelum menuju ke hotel penginapan.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga dijadualkan berkenan bersantapan bersama rakyat di Dewan MUC, Kampung Bandung, Sibu, malam ini. – Bernama
