KUCHING, 28 OGOS – Agropelancongan bukan sahaja produk pelancongan baharu tetapi suatu pengalaman sangat dicari yang boleh menjadi kelebihan untuk mempromosikan Sarawak kepada dunia, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata dengan khazanah pertanian yang banyak, Sarawak berpotensi menawarkan pengalaman agropelancongan yang tiada tandingan kepada pelancong.
“Dengan berbuat demikian, kita boleh meningkatkan jumlah pelancong bernilai tinggi yang menghargai nilai sebenar negeri ini, masakan dan tradisi kita.
“Kita mesti menyedari bahawa ini bukan sahaja mengenai agropelancongan tetapi juga tentang melengkapkannya dengan ekopelancongan untuk memperkayakan lagi pengalaman untuk pengunjung kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa majlis perasmian Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak, di sini hari ini. – Bernama


