BARCELONA, 1 NOV – Sergio Aguero dilaporkan mengalami masalah degupan jantung tidak normal apabila pemain 33 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas dadanya sakit dan sukar bernafas ketika Barcelona seri 1-1 menentang Alaves.
Aguero terbaring di atas padang dan diberikan rawatan selepas dia mengadu sukar bernafas dan dadanya sakit akibat kadar degupan jantung yang tinggi.
Dia kembali bangun dan berjalan keluar padang tetapi ujian di Hospital Barcelona mendapati pemain legenda Manchester City itu mengalami masalah ‘cardia carrhythmia’ (degupan jantung tidak normal).
Ujian lanjut akan dijalankan untuk menilai keadaan jantungnya dan Aguero dijangka akan terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang Dynamo Kiev esok.
Aguero menyertai kelab gergasi Catalan itu pada musim panas lalu selepas mengharungi 10 tahun gemilang bersama Manchester City. – AFP