LONDON, 21 Sept – Penjaring terbanyak Manchester United, Sergio Aguero melanjutkan kontraknya selama setahun bersama juara Liga Perdana Inggeris hari ini.
Pemain antarabangsa Argentina berusia 30 tahun itu, yang memecahkan rekod musim lalu dengan mengumpul gol sebanyak 204, telah menandatangani pelanjutan kontrak yang akan menyaksikannya bersama kelab itu sehingga penghujung musim 2021.
“Saya gembira dapat melanjutkan setahun bersama kelab ini. Saya merancang untuk berada 10 tahun di sini. Saya telah berada di sini selama tujuh tahun dan ia akan menjadi 10 tahun setelah kontrak tamat,” kata Aguero dalam kenyataan kelab.
“Saya sangat gembira bagaimana mereka melayan saya sejak menjejakkan kaki di sini dan ia menjadi pendorong kepada saya untuk meneruskan kontrak berkenaan.”
Pengarah bola sepak Manchester City, Txiki Begiristain berkata Aguero – yang pernah diketepikan beberapa kali oleh pengurus Pep Guardiola dalam tempoh dua tahun terakhir untuk pemain Brazil, Gabriel Jesus – telah mengekalkan statusnya sebagai tunggak utama kelab itu.
“Kami sangat gembira Sergio melanjutkan kontraknya di Manchester City,” kata Begiristain.
“Dia menjadi seorang pemain penting buat kelab ini sejak tiba pada tahun 2011 dan dia kekal sebagai barisan hadapan pemain untuk mencapai apa yang kami mahukan dalam beberapa tahun yang akan datang,” ujarnya. – AFP