KUALA LUMPUR, 25 MEI – Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero menyifatkan pemilihannya dalam skuad ASEAN All-Stars sebagai pencapaian besar dalam kerjaya bola sepaknya, menjelang aksi menentang gergasi England, Manchester United dalam Maybank Challenge Cup, pada Rabu ini.
Penyerang Sri Pahang FC itu berkata peluang mewakili Malaysia di pentas berprestij berkenaan walaupun hanya dalam perlawanan pertunjukan, satu penghormatan dan detik yang membanggakan buat dirinya.
“Ini satu penghormatan yang luar biasa dipilih bagi perlawanan bersejarah seperti ini. Beraksi menentang satu daripada kelab terbesar dunia bersama beberapa pemain terbaik rantau ini, benar-benar satu impian yang menjadi kenyataan.
“Apa yang menjadikan ia lebih istimewa adalah peluang mewakili Malaysia di pentas ini. Mengibarkan bendera di hadapan penyokong tempatan adalah segalanya buat saya,” kata pemain kelahiran Argentina berusia 31 tahun itu dalam satu kenyataan. Aksi menentang United dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.
Selain Aguero, empat lagi pemain kebangsaan yang terpilih ialah pertahanan Terengganu FC, Muhammad Azam Azmi Murad; pemain sayap Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op; penjaga gol Perak FC, Muhammad Haziq Nazdli; dan pertahanan Kuala Lumpur City FC, Declan Lambert.
Kali terakhir The Red Devils beraksi di Malaysia semasa jelajah pramusim pada 2009, dengan dua kemenangan ke atas Malaysia XI masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.
Juara EPL sebanyak 13 kali itu juga akan ke Hong Kong sebagai sebahagian daripada jelajah pramusim mereka untuk menentang pasukan kebangsaan Hong Kong pada 30 Mei. – Bernama
