JAKARTA, 31 MEI – Sebuah gunung berapi di kepulauan Bali, meletus lagi hari ini, memuntahkan asap dan debu tebal lebih 2,000 meter ke udara.
Gunung Agung, kira-kira 70km dari hab pelancongan Kuta, Bali, sudah banyak kali meletus semenjak ia kembali aktif dalam 2017, ada kalanya menangguhkan penerbangan dan memaksa penduduk melarikan diri dari kediaman mereka.
Letusan terbaharu berlaku sejurus sebelum tengah hari ini yang menyaksikan ia memuntahkan debu tebal ke udara, namun tidak menjejaskan jadual penerbangan, menurut agensi geologi Indonesia.
Agung kekal pada amaran bahaya tahap kedua tertinggi dan terdapat penguatkuasaan zon tanpa manusia sejauh empat kilometer di sekeliling kawahnya.
Pada musim panas tahun lalu, berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan selepas Agung meletus, manakala berpuluh-puluh ribu orang kampung berhampiran melarikan diri ke pusat pemindahan selepas satu letusan kuat pada tahun 2017. – AFP
