Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Dua jaringan akhir perlawanan tidak mencukupi untuk menyelamatkan Al-Idrus SC yang terpaksa akur dengan empat jaringan awal AH United yang muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden II Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam DST 2017 di Kompleks Sukan Tutong hari ini.
Hadir menyaksikan perlawanan akhir hari dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Haji Hussain.
Abang Norsilimy muncul wira Pasukan AH United apabila membuka tirai jaringannya pada minit ke-5 sebelum menambah lagi satu jaringan pada minit ke-47 dan akhirnya melengkapkan hatriknya pada minit ke-65.
Beban berat Al-Idrus SC terus dipikul apabila pada minit ke-76 pemain AH United Nikolas Mulok menambah jaringan keempat pasukannya menjadikan kedudukan 4-0.
Namun, semangat juang Pasukan Al-Idrus SC perlu diberikan pujian apabila barisan pemainnya terus membuat percubaan.
Sebelum tamat perlawanan, Pasukan Al-Idrus SC berpeluang merapatkan kedudukan melalui Awang Saiful Bahrin bin Haji Abdul Hamid pada minit ke-84 sebelum satu lagi jaringan pada minit ke-88 oleh Mohd Rafie bin Abdul majid.
Sementara itu, ketua Jurulatih AH United, Rosanan Samak berpuas hati dnegan pencapaian ini dan mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen dan usaha keras semua pemain.
Ditanya mengenai perancangan seterusnya, beliau memberitahu bahawa apa pun penglibatan pemain dan beliau sendiri dalam pasukan akan ditentukan oleh pengurusan dan semua bergantung kepada mereka untuk mengatur rancangan seterusnya untuk pasukan.