Di sebalik wajahnya yang jelita, siapa sangka pelakon baharu, Ahirine Ahirudin cukup meminati sukan lasak seperti sukan Muay Thai dan aktiviti permotoran.
Ahirine, 26, berkata, dia melihat seni mempertahankan diri cukup penting kerana ilmu itu dapat melindungi diri wanita daripada sebarang kejadian tidak diingini.
“Keadaan sekarang ini kita sukar nak jangka, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penderaan.
“Seni mempertahankan diri juga dapat dijadikan alat keselamatan sekiranya berdepan dengan kejadian tidak diingini,” katanya kepada wartawan.
Ahirine ditemui pada majlis pra tonton filem Gadis Jolobu The Movie di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sementara itu, Ahirine juga memberitahu disebabkan minatnya itu, dia mencari lelaki idaman yang mempunyai hobi sama dengannya.
“Kalau ada minat sama itu bagus, tetapi sekiranya hobi berbeza, setidak-tidaknya berilah sokongan.
“Maklumlah saya menceburi bidang sukan yang didominasi lelaki, jadi tentu saya perlu semangat daripada pasangan,” ujarnya.
Pun begitu, Ahirine mengakui buat masa ini dia lebih suka menikmati kehidupan solo dan tidak merancang mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.
“Biarlah saya nikmati kehidupan dahulu, karier lakonan pun baru bermula. Tapi kalau dah jodoh, siapa saya untuk menolaknya, bukan?,” ujarnya.
Ahirine sebelum ini pernah membintangi filem Remp-It 2 dan aktif berlakon aksi lasak ngeri dan pelakon ‘body double’.
Filem Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton tidak lama lagi.
Menerusi filem ini, Datuk Hattan membawa watak Atan, Joey Daud (Ajoi), Khir Rahman (Acong) dan Ahirine (Jijah).
Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.
Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.- Agensi