Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Majlis mengangkat sumpah bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang baru dilantik pada 13 Januari lalu, berlangsung hari ini di Dewan Persidangan MMN, Jalan Dewan Majlis di sini.
Pada majlis itu mereka menyatakan sepenuhnya taat setia, jujur serta ikhlas kepada negara dan menandatangani pengakuan di hadapan Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Ahli-ahli MMN yang dilantik terdiri daripada ahli rasmi kerana jawatan, orang-orang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil yang dilantik dari daerah-daerah.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dari kementerian-kementerian serta jabatan-jabatan kerajaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya berkata, beliau penuh percaya bahawa ahli-ahli MMN yang dilantik akan dapat melaksanakan tugas masing-masing yang diamanahkan dengan dedikasi dan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan bagi kepentingan Negara Brunei Darussalam serta rakyat dan penduduk negara.
Upacara mengangkat sumpah didahului oleh ahli rasmi kerana jawatan terdiri daripada menteri-menteri kabinet iaitu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri di JPM dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua),Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Ini diikuti oleh orang-orang bergelar iaitu Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim.
Disusuli pula oleh orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan iaitu Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad, Yang Berhormat Awang Ong Tiong Oh, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Hafimi binti Abdul Haadii, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Upacara mengangkat sumpah diikuti seterusnya oleh wakil yang dilantik dari daerah-daerah iaitu Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang mewakili Zon 1- Daerah Brunei dan Muara; Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis (mewakili Zon 3- Daerah Brunei dan Muara); Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin (mewakili Zon 4- Daerah Brunei dan Muara); Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari (mewakili Zon 5- Daerah Brunei dan Muara); Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman (mewakili Zon 2- Daerah Brunei dan Muara); Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin (mewakili Zon 1- Daerah Belait); Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput (mewakili Zon 2- Daerah Belait); Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong (mewakili Zon 1- Daerah Tutong); Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit (mewakili Zon 2- Daerah Tutong) dan Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu (mewakili Daerah Temburong).
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kuncang.
Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-13 MMN akan berlangsung pada Isnin ini di Dewan Persidangan, Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis di sini.