BANDAR SERI BEGAWAN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) menjadi tuan rumah acara UBD Alumni Talk siri pertama yang dikelolakan oleh Pejabat Perhubungan dan Kemajuan Alumni (OARA).
Ceramah tersebut dihadiri oleh kakitangan UBD, alumni, pelajar semasa dan warga institusi dan sekolah dari Politeknik Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, dan disiarkan secara langsung melalui laman Instagram Alumni UBD.
Ceramah bertajuk From Science to Business: Journey from UBD Graduate to Financial Planner disampaikan oleh alumni UBD, Kelvin Pong Ming Onn. Dalam ceramah ini, Kelvin berkongsi pengalaman dan perjalanan semasa menuntut di UBD daripada seorang pelajar menjadi perunding kewangan yang berjaya.
Sebagai lulusan BSc Biology Sciences dan BA Economics, Kelvin tidak banyak mengetahui tentang industri insurans ketika dia mengambil peluang bekerja di AIA.
Untuk mengembangkan dirinya secara profesional, dia mendaftarkan diri dalam MBA UBD dan pengalaman di UBD telah banyak memberi manfaat kepadanya, untuk dapat meningkatkan kehidupan pelanggannya melalui pengurusan kewangan yang lebih baik.
UBD Alumni Talk ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada penceramah mempamerkan skop perniagaan atau pekerjaan mereka dan berkongsi pengalaman bekerja dengan para pelajar atau sebarang peluang kerjaya pekerjaan.
Rangkaian ceramah tersebut mempromosikan budaya membalas jasa kepada universiti; memperuntukkan masa penceramah untuk memberi inspirasi kepada orang lain dan menyokong UBD dalam hal meningkatkan kebolehkerjaan pelajar dengan berkongsi maklumat penting.
Siri ini diharap dapat mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti dengan menjalin hubungan yang saling menguntungkan, menjaga kesetiaan alumni dan mewujudkan peluang tanpa had untuk sumbangan kreatif mereka kepada universiti.
