KUALA LUMPUR, 31 DIS – Penangguhan edisi ke-10 Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina daripada 18 hingga 24 Januari kepada 20 hingga 28 Mac 2020 tidak boleh dilihat sebagai rintangan utama bagi ahli Persekutuan Sukan Para Asean (APSF).
Sebaliknya Presiden APSF Maj Jen Osoth Bhavillai menyeru setiap ahli untuk meneruskan sokongan dan bangkit bersama bagi menentukan kejayaan penganjuran kejohanan dwitahunan bagi atlet kurang upaya itu. “Rantau ini menanti dengan penuh harapan bahawa tindakan dan pencapaian para atlet kita yang tidak pernah gagal dan akan terus memberi inspirasi kepada kita. Dalam semangat sejati ASEAN ‘bergerak bersama’, marilah kita maju ke hadapan dalam tahun baharu dengan semangat dan tujuan diperbaharui dalam usaha kita untuk mengatasi cabaran lebih besar yang mendepani kita dalam dekad baharu ini,” katanya dalam mesej tahun baharu dimuatkan laman Facebook APSF, hari ini.
Bhavillai yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand berkata, sejak penubuhan APSF pada 25 Oktober 2001, badan itu tetap teguh dan waspada dalam memenuhi misi mereka untuk memperkuat gerakan Paralimpik di kalangan ahli-ahlinya. – Bernama