Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli arkeologi Australia dijadikan tebusan

    PORT MORESBY, 20 FEB – Seorang ahli arkeologi dan beberapa orang lainnya telah diculik bagi mendapatkan wang tebusan di Papua New Guinea, menurut perdana menteri negara itu kelmarin.

    Beliau memberi amaran kepada penculik bersenjata bahawa ‘tiada tempat untuk melarikan diri’.

    Polis dan pegawai kerajaan berkata mereka yang dijadikan tebusan termasuk ahli akademik dan jurupandu dari Australia, New Zealand dan Papua New Guinea dan telah diculik oleh lelaki bersenjata pada awal Ahad.

    Penculik meminta wang tebusan kira-kira A$1 juta dalam tempoh 24 jam namun ia telah dibatalkan dan tuntutan wang pula telah dikurangkan. Perdana Menteri, James Marape berkata ini kali pertama wang tebusan seumpamanya dituntut.

    “Kerajaan memandang serius perkara itu, dan kami tidak mahu ia berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan, rantau itu telah menyaksikan peningkatan peperangan antara puak dan penggunaan senjata moden.

    Marape menambah bahawa kerajaannya ‘tidak akan bertoleransi’ terhadap jenayah seumpamanya dan ‘segala usaha sedang dilakukan’ bagi membebaskan kumpulan tebusan itu.

    “Saya ingin memberitahu mereka yang terlibat, tiada tempat untuk lari, tiada tempat untuk bersembunyi di negara kami,” katanya.

    Mubaligh tempatan dikatakan sedang berhubung dengan penculik dan berunding bagi pembebasan tebusan.

    Kerajaan Australia enggan memberikan sebarang kenyataan.

    Canberra sebelum ini berkata bahawa publisiti yang menyelubungi kes penculikan boleh meningkatkan risiko mereka yang ditawan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda