Wednesday, July 23, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli astronomi temui bintang pendamping Betelgeuse

    PARIS, 22 JULAI – Sejak zaman Mesir purba, manusia di seluruh dunia telah memandang kagum ke arah Betelgeuse, salah satu bintang paling terang menyinari langit malam.
     
    Kini, ahli astronomi mendapati bahawa bintang gergasi merah itu, yang dikenali sebagai bahu pemburu dalam buruj Orion, sebenarnya diiringi oleh satu bintang pendamping yang lebih kecil, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.
     
    Ia bukan kali pertama Betelgeuse mengejutkan para pemerhati bintang.
     
    Antara 2019 hingga 2020, ia tiba-tiba menjadi malap secara dramatik selama lima bulan, mencetuskan spekulasi ia mungkin lenyap dalam satu letupan supernova yang mengagumkan.
     
    Namun, pemerhatian lanjut mendapati fenomena itu dikenali sebagai ‘Great Dimming’, disebabkan oleh bahan yang terhambur daripada permukaan bintang tersebut, yang menyejukkan sebahagian daripada bintang dan membentuk awan debu yang menghalang cahayanya.
     
    Gambar yang dikeluarkan oleh Balai Cerap Gemini Antarabangsa menunjukkan penemuan bintang pendamping (kiri) di sekeliling bintang supergergasi merah Betelgeuse pada 21 Julai. – AFP
    Pun begitu, saintis masih belum dapat menjelaskan mengapa kecerahan Betelgeuse berubah secara berkala, dalam kitaran selama 400 hari serta satu lagi kitaran hampir enam tahun.
     
    Dalam kertas kajian bertajuk A Buddy for Betelgeuse yang diterbitkan Disember lalu, sekumpulan penyelidik mengemukakan teori bahawa perubahan jangka panjang itu mungkin disebabkan oleh kewujudan bintang kecil tersembunyi yang mengorbit Betelgeuse.
     
    Kini, menggunakan teleskop Gemini North di Hawaii, ahli astronomi berjaya mengesan bintang pendamping yang sukar dikesan itu, menurut kajian baharu dalam jurnal The Astrophysical Journal Letters.
     
    Kajian tersebut menganggarkan bintang pendamping itu memiliki jisim kira-kira 1.5 kali lebih besar daripada matahari.
     
    Namun ia tetap jauh lebih kecil berbanding Betelgeuse, yang bersaiz 1,000 kali lebih besar daripada matahari.
     
    Bintang pendamping itu terletak pada jarak kira-kira empat kali ganda dari Betelgeuse sama seperti jarak bumi ke matahari, satu jarak yang dikira amat dekat bagi pasangan bintang.
     
    Penemuan itu menandakan kali pertama bintang pendamping ditemui mengorbit begitu dekat dengan bintang gergasi, menurut kenyataan daripada NOIRLab, pusat penyelidikan AS yang mengendalikan Balai Cerap Gemini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda