KUALA LUMPUR, 28 SEPT – Ahli ekonomi percaya bahawa Belanjawan 2026 tidak akan memperkenalkan sebarang perubahan besar dalam sistem percukaian terutamanya cukai individu dan korporat untuk mengekalkan keyakinan pengguna dan pelabur apabila tarif Amerika Syarikat (AS) bermula.
Sebaliknya, kerajaan mungkin mempertimbangkan pengembangan skop cukai keuntungan modal (CGT) ke atas keuntungan modal daripada pelupusan saham disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Ketua dan Pengarah Penyelidikan MBSB Investment Bank Bhd (MBSB), Imran Yassin Yusof.
“Pada masa ini, CGT meliputi keuntungan daripada pelupusan saham tidak tersenarai dan pelupusan aset modal asing.
“Tetapi kami percaya ini mungkin memerlukan kajian impak lebih lanjut dan mempunyai kebarangkalian rendah untuk dibentangkan dalam Belanjawan 2026,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.
Cukai baharu lain yang mungkin akan diperkenalkan termasuk cukai warisan, spekulasi mengenai ‘cukai dosa’ (antaranya arak dan judi) atau cukai kesihatan seperti cukai tembakau, katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli ekonomi yang pakar dalam pembangunan di Asia Tenggara Doris Liew, beliau menjangkakan belanjawan itu akan meningkatkan dividen dan penguatkuasaan CGT. – Bernama


