Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 9 Mac – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang telah mengadakan Mesyuarat Pembubaran dan Pelantikan Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Kiudang Sesi 2017–2021 yang telah berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Kiudang, baru-baru ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung, yang juga selaku Penasihat MPK Kiudang.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin, dan Pemangku Pegawai Tugas–tugas Khas Jabatan Daerah Tutong, Awang Abdul Kahar bin Haji Yahya. Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa oleh Setiausaha MPK Kiudang, Haji Saifulbahri bin Haji Umarali, diikuti dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada ahli MPK Kiudang bagi sesi 2012-2016.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan dari pengerusi iaitu Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja, yang antara lain menyentuh mengenai pendekatan dan strategi dalam pemilihan ahli-ahli baru.

Pemilihan itu, jelasnya, perlulah tepat dan mantap termasuklah penyerapan golongan-golongan belia dan individu yang berpendidikan, berkebolehan dan berkemahiran serta sentiasa komited berdasarkan tiga perkara utama iaitu muafakat, relevan dan mengikut peredaran masa seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, beliau juga turut memberi penghargaan dan berterima kasih di atas usaha ahli–ahli Majlis Perundingan Kampung Kiudang yang telah mencapai beberapa kejayaan terbesar seperti Menerima Anugerah Gangsa AKC 2013 bagi Peringkat Kebangsaan, terpilih sebagai Tapak Ekopelancongan Berasaskan Komuniti bagi Mesyuarat kali-12 BIMP-EAGA dan menerima Anugerah ASEAN Community Based Tourism Standard 2017-2019.
Pelantikan ahli–ahli baru Majlis Perundingan Kampung Kiudang dibarisi oleh para belia dan beliawanis serta ahli–ahli terdahulu bagi menerajui kepimpinan MPK bagi sesi 2017–2021. Mesyuarat pertama ahli-ahli MPK Kiudang bagi pelantikan biro–biro juga akan diadakan dalam masa terdekat.