Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli Kabinet baharu Indonesia diperkenal

    JAKARTA, 21 OKT – Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto, memperkenalkan anggota Kabinet yang terdiri daripada 48 anggota, gabungan muka lama daripada pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo dan pelantikan baharu.

    Barisan jemaah menteri termasuk 18 daripada Kabinet Indonesia Maju Joko Widodo mengangkat sumpah dalam satu majlis di Istana Negara, Jakarta Pusat hari ini.

    Kabinet yang dibentuk oleh Prabowo melebihi 34 menteri yang dilantik dalam pentadbiran Joko Widodo, dengan pelantikan strategik ini bertujuan menangani cabaran bagi penggal 2024 hingga 2029.

    Antara menteri yang kembali menyertai Kabinet ialah Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto; Menteri Kewangan, Sri Mulyani; Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin; dan Menteri Tenaga serta Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia.

    Pelantikan lain termasuk Zulkifli Hasan sebagai Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Makanan; Pratikno sebagai Menteri Penyelaras bagi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan; dan Agus Harimurti Yudhoyono sebagai Menteri Penyelaras Infrastruktur.

    Kabinet itu juga menampilkan muka baharu seperti Yusril Ihza Mahendra sebagai Menteri Undang-undang, Hak Asasi Manusia dan Imigresen; Muhaimin Iskandar sebagai Menteri Pemerkasaan Masyarakat; Sugiono sebagai Menteri Luar Negeri; Sjafrie Sjamsoeddin sebagai Menteri Pertahanan; dan Meutya Hafidz sebagai Menteri Komunikasi dan Digital.

    Prabowo turut melantik lima pegawai setaraf menteri termasuk ST Burhanuddin sebagai Peguam Negara; Muhammad Herindra sebagai Ketua Badan Perisikan Negara; AM Putranto sebagai Ketua Staf Presiden; Hasan Nasbi sebagai Ketua Pejabat Komunikasi Presiden; dan Luhut Binsar Pandjaitan sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Negara. – Bernama

    Presiden Prabowo Subianto bergambar ramai bersama menteri-menteri yang baharu dilantik semasa upacara angkat sumpah Kabinet baharu di Istana Merdeka di Jakarta, Indonesia pada 21 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda