Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 8 Jan – Seramai 24 orang ahli Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) Kampung Bukit Daerah Tutong, hari ini, telah mengadakan lawatan muhibah ke KBM Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar, di sini.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan bagi mengeratkan silaturahim sesama saudara Islam amnya dan khususnya di antara warga Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan para mualaf kedua-dua daerah.
Sejurus tiba, rombongan telah disajikan dengan persembahan Zikir dan Tausyeh oleh ahli KBM Daerah Temburong sementara ahli KBM Kampung Bukit Daerah Tutong mempersembahkan segmen lakonan spontan.
Antara pengisian lawatan termasuk kunjungan muhibah ke Perusahaan Ternakan Itik di Kampung Batang Duri yang diusahakan oleh salah seorang ahli KBM Daerah Temburong dan ke Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjung Bungar bagi meninjau perusahaan tenunan tradisi masyarakat Iban.
Pada akhir lawatan, mereka menunaikan solat Fardu Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Utama Mohammad Salleh, Haji Mohd Yusof bin Ahad.
Ketua rombongan tersebut, Haji Azely yang merupakan Imam Masjid Kampung Bukit Daerah Tutong berharap aktiviti seumpamanya akan dapat diteruskan untuk menerapkan ilmu pengetahuan dalam kalangan para ahli KBM secara kolektif dan berencana.