Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting dalam mencipta suasana harmoni yang saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.
Selain itu, melakukan amalan bersama-sama seperti solat berjemaah, berzikir, menghadiri majlis-majlis ilmu dan menikmati rezeki makanan serta berbicara perkara baik secara santai dengan ahli-ahli keluarga adalah sangat penting untuk merapatkan hubungan dan memupuk suasana positif dalam rumah tangga.
Amalan kecil yang dilakukan secara konsisten setiap hari lebih bernilai daripada melakukan perkara besar yang tidak berterusan.
Perkara tersebut ditekankan oleh Pegawai Penganalisa Data dari Nuqra Math, Awang Ahmad Rashidi bin Haji Ansanawi, semasa menyampaikan perkongsian ilmu sempena Acara Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-183 yang berlangsung secara maya pada malam tadi.
Beliau turut menyeru agar seluruh umat Islam sentiasa bermotivasi untuk memperbaiki kehidupan demi mencapai kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengurus Nuqra Quranic Cawangan Beribi, Nik Muhammad Soleh bin Ramli.
Acara kemudiannya diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk oleh guru Nuqra Quranic Cawangan Beribi, Awang Muhammad Fawwaz bin Haji Mohamad Sanuse.
Doa Munajat pula dibacakan oleh guru dari Nuqra Quranic Cawangan Lambak, Awang Muhammad Hakimi @ Hafiz bin Abdul Wahib, dan seterusnya bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh guru Nuqra Quranic Kiulap, Awang Muhammad Faizzuddin bin Murni, bersama guru-guru dari Nuqra Quranic Cawangan Kiulap.
Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam kemudiannya dibacakan oleh guru Al-Quran dari Nuqra Quranic Cawangan Beribi, Awang Azizul Ridhwan bin Haji Abu Bakar.
Acara Munajat itu bertujuan mengajak orang ramai untuk sama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan daripada Allah SWT, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta berdoa bersama secara serentak agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyatnya dilindungi daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat yang diadakan pada setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.