Friday, October 18, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli keluarga memperingati 10 tahun tragedi MH17

    VIJFHUIZEN, BELANDA, 17 JULAI – Saudara-mara penumpang dan anak kapal yang terbunuh apabila Penerbangan Malaysia Airlines 17 (MH17) ditembak jatuh di Ukraine berkumpul di Australia dan Belanda hari ini untuk menandakan ulang tahun ke-10 tragedi yang meragut 298 nyawa itu, di mana lebih separuh daripadanya adalah warga Belanda.

    Beratus-ratus ahli keluarga – bersedia untuk membacakan nama semua mangsa – menyertai raja Belanda, ahli-ahli politik dan diplomat pada satu acara di sebuah peringatan di Belanda berhampiran Schiphol, lapangan terbang dari mana pesawat Boeing 777 itu berlepas ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

    “Sepuluh tahun kemudian, kesedihan itu kekal mendalam. Belanda tetap bertekad untuk mencari kebenaran, keadilan, dan penjelasan serta akauntabiliti bagi pesawat MH17 yang ditembak,” kata kementerian luar Belanda dalam satu kenyataan.

    Peguam Negara Australia, Mark Dreyfus mewakili negaranya di tapak peringatan Belanda, di mana 298 pokok ditanam untuk memperingati setiap mangsa dan bunga matahari, seperti yang tumbuh di tapak nahas, disemai.

    Ramai keluarga yang tiba untuk acara itu juga membawa bunga matahari, meletakkan-nya di sebelah pokok-pokok. Bendera negara yang kehilangan rakyat digantung separuh tiang di sebelah ladang bunga matahari yang sedang mekar.

    Majlis yang sama telah diadakan di Bangunan Parlimen Australia di Canberra.

    Peringatan itu berlaku ketika konflik terus memuncak di seluruh Ukraine berikutan pencerobohan berskala penuh Rusia pada awal 2022 dan ketika keluarga meminta Moscow untuk mengakui kesalahan.

    “Saya tidak fikir sesiapa berniat untuk menembak jatuh pesawat penumpang itu. Jadi dari segi itu, saya sedih kerana konflik itu berterusan,” kata Paul Guard kepada Australian Broadcasting Corp. Ibu bapanya, Roger dan Jill Guard adalah antara 38 warganegara Australia dan penduduk tetap yang terbunuh. – AP

    Saudara-mara penumpang yang terbunuh apabila MH17 ditembak jatuh di atas Ukraine berpelukan selepas meletakkan kalungan bunga ketika mereka berkumpul bersama pegawai-pegawai di Bangunan Parlimen Australia di Canberra kelmarin untuk memperingati ulang tahun ke-10 tragedi yang meragut 298 nyawa itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda