BANDAR MEXICO, 10 DIS – Seorang ahli kongres Mexico yang merupakan anggota pakatan pemerintah ditembak mati di negeri pantai Veracruz, kelmarin, kata pegawai.
“Benito Aguas Atlahua telah meninggal dunia akibat kecederaan berpunca daripada tembakan itu,” kata pejabat pendakwa raya negeri dalam satu kenyataan.
Mayat lelaki dikenali sebagai Agustin Linares turut ditemui di tempat kejadian di perbandaran Zongolica, tambah kenyataan itu.
Pihak berkuasa tidak memberikan maklumat lanjut tentang keadaan atau jumlah penyerang.
Aguas Atlahua telah dibawa ke hospital dalam keadaan serius selepas tembakan itu, menurut laporan awal.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P21-4D-web-Envato_11122024.jpg)
Penggubal undang-undang itu ialah ahli Parti Hijau Ekologi Mexico (PVEM), sebahagian daripada gabungan pemerintah yang mengawal kongres, bersama-sama dengan Parti Buruh dan Morena pimpinan Claudia Sheinbaum.
Pihak PVEMnya mengutuk serangan itu dalam satu kenyataan pada X.
“Kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perbuatan keji ini tidak terlepas daripada hukuman. Keselamatan dan penghormatan mesti menjadi tonggak asas dalam politik Mexico,” katanya.
Kumpulan penjenayah telah berebut wilayah di negeri Veracruz kerana kedudukannya di sepanjang laluan transit dadah dan pendatang tanpa izin menuju ke Amerika Syarikat.
Mexico telah mencatat lebih daripada 450,000 pembunuhan sejak 2006, apabila kerajaan mengerah para tentera untuk memerangi dadah. – AFP