Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 5 Feb – Bagi mengenang nostalgia kugiran-kugiran tanah air sekitar tahun 60-an, buat pertama kalinya Majlis Reunion Ahli-ahli Kugiran Seluruh Belait telah diadakan di Restoran dan Kafe Srikandi, di sini, hari ini.
Majlis tersebut yang berjaya mengumpulkan antara pemain-pemain daripada tujuh buah kugiran yang terkenal di Belait pada ketika itu, turut menyaksikan acara memotong kek sebagai kenangan bersempena bertemu semula rakan-rakan seperjuangan dalam arena muzik Pop Yea Yea itu.
Pengurus dan juga penasihat majlis tersebut, Haji Ahad bin Selamat berkata, majlis tersebut diadakan melalui idea Awang Junaidi bin Ali dan Awang Razali Osen, kedua-duanya merupakan antara ahli Band 15th March.
“Walaupun kami dapat mengumpulkan beberapa buah kugiran dan ahli-ahlinya namun ada juga yang tidak dapat dikesan, kemungkinan sudah terlalu lama tidak aktif lagi, bagaimanapun, kami rasa bersyukur kerana masih dapat mengumpulkan kalangan ahli-ahli daripada sebanyak tujuh buah kugiran di daerah ini,” katanya.
Menurutnya, harapan mereka susulan daripada majlis tersebut adalah untuk mengumpulkan lebih ramai ahli-ahli kugiran, selain untuk menghidupkannya semula dan kembali bermain muzik, namun tambah beliau, ia tidak dapat dijanjikan sepenuhnya berikutan keadaan fizikal dalam kalangan ramai pemain yang sudah berusia, selain masalah peralatan muzik yang sudah tidak dapat diguna pakai lagi.

Semasa ditemui Media Permata, Haji Ahad turut mengongsikan pengalaman sebagai pemuzik tanah air pada waktu itu, yang menurutnya banyak kenangan pahit dan manis yang telah mereka lalui bersama.
Namun minat dan semangat yang mereka miliki pada masa itu sebagai penghibur masyarakat sangat menggalakkan biarpun, katanya, upah yang diberikan tidak menentu, ia bergantung daripada sumbangan keluarga yang mengundang mereka melalui majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya.
“Pada zaman itu, Band Yea Yea sentiasa memeriahkan majlis-majlis perkahwinan, acara-acara dewan dan sekolah serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri, ada juga sebahagian masyarakat yang mahu melihat kugiran Pop Yea Yea dihidupkan semula, kerana keunikannya dan lagu-lagu yang dibawakan sentiasa ever green dan sedap didengar.
“Jika sekiranya pun ianya hendak dihidupkan semula ke persada dunia seni muzik tanah air, mungkin belia-belialah yang diharapkan mengambil alih sebagai pelapis kepada kami pemain-pemain veteran yang sudah tidak begitu kuat untuk beraksi dalam memainkan peralatan-peralatan muzik seperti yang pernah kami lakukan 30 hingga 40 tahun lalu,” ujarnya.
Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut, Haji Ahad turut mengimbas kembali kenangan pengalaman mereka sebagai ahli-ahli kugiran pada zaman tahun 60-an, yang katanya mereka boleh membawa apa saja lagu-lagu yang menjadi kegemaran pada masa itu bukan saja dalam Bahasa Melayu malahan dalam bahasa lain seperti Cina, Inggeris, Iban dan Hindi yang semuanya dihafal.
Sekurang-kurangnya persembahan kugiran pada masa itu turut dapat dibanggakan, kerana ada juga yang pernah bermain hingga ke luar negara.
“Pada masa itu, kerjasama dalam kalangan ahli kugiran amat erat, kerana kami boleh meminjam-minjam pemain daripada kugiran lain dan tidak pernah mempunyai perselisihan faham antara kami. Ia tetap akan menjadi kenangan indah kepada kami semua,” katanya.
Pada majlis itu, ahli-ahli kugiran yang hadir juga tidak ketinggalan bergambar ramai untuk merakamkan kenangan pertemuan semula di mana kemesraan masih jelas kelihatan, biarpun ada yang sudah lama meninggalkan aktiviti bermain muzik tetapi masih terdapat juga di antara mereka yang masih aktif sehingga hari ini selain ada juga yang menjadi pengajar kepada belia-belia yang meminati seni kugiran tanah air pada masa ini khususnya di Daerah Belait.