Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Tiga ahli Majlis Kebajikan Masyarakat (MKM) Brunei telah berlepas ke Kem Unchiprang, Cox’s Bazar, Bangladesh hari ini.
Pasukan yang diketuai oleh mantan Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan, turut disertai oleh Dr Hjh Kamariah (Bendahari MKM) dan Hajah Zaiton (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) akan menghadiri kem berkenaan sehingga 25 November ini.
Datin Paduka Hajah Intan mengongsikan, “kami menjalankan pemeriksaan berkala terhadap sekolah, masjid dan telaga tiub yang dibina melalui sumbangan orang ramai, dan amanah ini adalah tanggungjawab yang kami pikul dengan penuh kesungguhan”.
Sejak tahun 2018, MKM telah mengendalikan sebuah sekolah untuk kira-kira 400 kanak-kanak pelarian Rohingya, dengan lebih 110 daripadanya mengikuti program Tahfiz manakala selebihnya dalam pengajian akademik di mana pelajar Tahfiz lelaki ditempatkan di kawasan sekolah berkenaan.
Sekolah ini dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan di bawah Program Tajaan Anak MKM, di mana sumbangan sebanyak $50 menampung keperluan bulanan seorang pelajar dan ini termasuk gaji guru, buku, uniform dan makanan.
Setakat ini, sekolah tersebut telah melahirkan 48 huffaz bertauliah, dan ramai antaranya telah berjaya menamatkan hafazan pada usia hanya 12 tahun.
Dalam misi kali ini, pasukan MKM akan menyelia dan mengaudit kerja-kerja pembaikan di sekolah selepas kerosakan akibat monsun bulan lalu.
Mereka juga akan menjalankan pemeriksaan secara rawak terhadap 30 buah masjid dan lebih 1,100 telaga tiub yang dibina oleh MKM sepanjang tahun-tahun ini yang mana semua perbelanjaan perjalanan ini ditanggung sendiri oleh para ahli pasukan.

