Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Siri sesi pembelajaran dan pemerkasaan dengan tumpuan kepada kemahiran, keusahawanan, memperkasa belia, komuniti dan kesukarelawanan melalui sesi perkongsian Roadtrip: Empowering Youth For The Future telah diteruskan lagi dengan berkunjung ke Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), baru-baru ini.
Sesi perkongsian yang dikendalikan oleh empat orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) iaitu Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad itu memberikan peluang kepada para ahli-ahli MMN untuk berkongsi pengalaman masing-masing serta menjawab persoalan daripada para pelajar semasa sesi perkongsian itu.
Seramai 161 orang pelajar Tahun 10X, Tahun 11 dan Tahun 11 Btech serta guru-guru STPRI menghadiri sesi berkenaan di mana ahli-ahli MMN mengongsi mengenai pengalaman dan bagaimana mereka boleh berada di kedudukan mereka pada masa ini sebagai inspirasi serta motivasi kepada para pelajar untuk mengikuti haluan mereka.
Mengimbas kembali pada tajuk sesi itu, Empowering Youth for the Future, sesi yang diterajui oleh warga sekolah berkenaan menumpukan kepada kaedah dan strategi dalam memperkasa pengalaman di mana pendekatan bagi setiap cabaran yang dihadapi akan mereka tempuh dengan minda yang terbuka dan kefahaman bahawa perjalanan itu merupakan pelajaran hidup dan kemahiran yang paling penting.
Acara itu dianjurkan oleh prefek-prefek sekolah, kadet kerjaya PRS, kapten tingkatan dan penolong kapten dengan penekanan pentingnya komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah serta penyesuaian diri sebagai kemahiran diperlukan bagi pemimpin bersedia masa hadapan Brunei.
Sesi pendekatan itu juga memberikan peluang bagi para pelajar untuk memahami bahawa mengimbangkan pencapaian akademik dan mempunyai kemahiran yang tepat adalah sama pentingnya bagi masa hadapan mereka.
Sehingga kini, sesi pendekatan dan perkongsian berkenaan telah mendekati kira-kira 566 orang pelajar dari empat buah sekolah berbeza daripada sekolah menengah hingga ke pusat tingkatan enam.
