Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli MMN lawat lokasi menarik di Daerah Tutong

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TUTONG, 17 OKT – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini membuat lawatan ke beberapa lokasi pelancongan di Daerah Tutong sebagai lanjutan daripada siri lawatan pertama yang diadakan pada 9 Oktober lalu.

    Menurut kenyataan, lawatan tersebut merupakan siri lawatan kedua yang bertujuan menyampaikan misi untuk mengangkat Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan utama yang memelihara warisan budaya dan semula jadi, selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian, di samping membudayakan sektor pelancongan yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.

    Turut menyertai lawatan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan dari KSSUP.

    Lokasi pertama lawatan adalah Kompleks Pasaraneka dan Tamu Tutong yang lebih dikenali sebagai Tamu Tutong yang terdapat pelbagai barangan seperti buah-buahan, sayur-sayuran segar, bunga-bungaan dan hasil tanaman kampung yang dijual.

    Tamu yang hanya diadakan setiap hari Khamis dan dibuka seawal jam 5 pagi itu juga mempunyai tempat kawasan gerai makan yang boleh dikunjungi orang ramai pada bila-bila masa.

    Antara ahli-ahli MMN ketika melawat Kompleks Pasaraneka dan Tamu Tutong. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Rombongan ahli-ahli MMN bergambar ramai ketika lawatan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Selain itu, kompleks tersebut juga mempunyai ruangan khas bagi Tamu Mingguan Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Rombongan seterusnya melintasi Jeti Pekan Tutong yang mana taklimat telah diberikan mengenai perancangan Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12 untuk menaiktarafkan jeti tersebut.

    Lokasi seterusnya ke Gerai Muafakat yang dibina berasaskan kemuafakatan Majlis Perundingan Kampung Kiudang Mungkom bagi menggalakkan masyarakat kampung untuk berniaga.

    Dengan terbinanya bangunan Gerai Muafakat ini, ia memberikan kemudahan kepada masyarakat kampung untuk menjual produk-produk mereka seperti makanan, kraf tangan, hasil kebun dan lain-lain. Rombongan juga berkesempatan untuk menyaksikan keunikan budaya puak Dusun.

    Lawatan diteruskan lagi ke Wasai Bedanu iaitu merupakan tempat hiking dan lokasi bagi peminat alam semula jadi untuk menerokai pelbagai spesies, termasuk kukang dan pelbagai burung eksotik seperti blue-eared barbet, bornean brown barbet dan red-eyed bulbul.

    Beberapa lawatan diteruskan antaranya ke Eco Ponies Garden yang mana ahli-ahli MMN berkesempatan mengadakan aktiviti riadah dan melawat fasiliti yang terdapat di lokasi berkenaan, lawatan diteruskan ke 7 Rumpun Keluarga Nayan (7RKN) yang menawarkan demonstrasi pembuatan parang serta mempamerkan warisan budaya puak kedayan di Daerah Tutong, lawatan ke Bintudoh Greenspring Resort yang merupakan satu destinasi perkhemahan yang menawarkan aktiviti ekopelancongan seperti memancing, berkayak dan zipline.

    Semasa musim buah-buahan, resort seluas 15 ekar ini banyak menghasilkan durian, nenas, rambutan, kembayau dan banyak lagi buah-buahan tempatan yang dapat dinikmati oleh para pengunjung.

    Dan terakhir, lawatan mengadakan lawatan ke Angkasa Oud Agarwood Company iaitu sebuah perniagaan tempatan yang mengkhususkan pengeluaran dan pembuatan produk gaharu berkualiti tinggi.

    Gaharu merupakan kayu resin bernilai tinggi dan dikenali dengan aroma unik yang menggabungkan aroma kayu dengan keharuman yang lembut. Sejak syarikat ini ditubuhkan ia telah menghasilkan pati minyak gaharu dan sebanyak 20 jenis haruman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda