Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli MMN lawat Progresif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Syarikat Progresif Cellular (Progresif) semasa lawatan kerja ke Progresif di sini, hari ini.

    Menerusi lawatan kerja itu, ia memberikan peluang kepada ahli-ahli MMN mengetahui secara terperinci mengenai isu-isu yang berhubung kait dengan pembekalan perkhidmatan telekomunikasi di Negara Brunei Darussalam sebagai persediaan kepada sesi muzakarah ahli-ahli MMN dengan Kementerian Perhubungan pada hujung November nanti.

    Lawatan kerja rombongan ahli-ahli MMN bermula di Bilik Latihan Progresif, Kiarong sebelum beredar untuk melawat Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre) dan seterusnya ke Stesen Radio Progresif yang dilancarkan pada November 2017.

    Radio Progresif merupakan inovasi baharu dalam industri radio dan muzik tempatan yang menggabungkan penstriman langsung dan kandungan atas permintaan di platform mudah alih. Sejak pelancarannya, aplikasi Progresif Radio telah dimuat turun sebanyak 20,000 kali.

    Rombongan kemudian dibawa melawat ke Bilik Inkubator Progresif yang merupakan ruang kerja pelbagai fungsi untuk menyokong keusahawanan dan membangun industri ICT tempatan melalui inisiatif-inisiatif yang menyokong inovasi.

    Ahli-ahli MMN ketika mendengarkan penerangan semasa mengadakan lawatan kerja di Progresif, kelmarin.

    Setakat ini, Bilik Inkubator Progresif menempatkan tiga start-up di mana salah satu daripadanya adalah Syarikat Dart, yang menawarkan perkhidmatan perjalanan tempatan. Sejak ditempatkan di Bilik Inkubator Progresif pada awal 2017, Dart telah mampu berkembang dan kini mampu menawarkan lebih daripada 2,500 perjalanan sebulan.

    Seterusnya, rombongan ber-edar ke cawangan Progresif An-Nuha di Tanjung Bunut yang merupakan cawangan pertama Syarikat Progresif dan satu-satunya cawangan yang mempunyai Bahagian Korporat. Ahli-ahli MMN juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat lagi pengurusan perkhidmatan pelanggan dan produk-produk Progresif.

    Progresif mula dirasmikan pada Julai 2014 dan telah berkembang dengan pantas untuk meningkatkan tahap pencapaian kepada pemegang penting dan pengguna. Menurut statistik pihak Progresif, jumlah pelanggan telah meningkat empat kali ganda, daripada 56,102 pada 2015 kepada 198,088 pada 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda