Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah menamatkan siri bengkel e-dagang bagi ahli majlis perundingan kampung (MPK) di Daerah Tutong, baru-baru ini.
Kenyataan menyatakan bahawa para peserta diajar mengenai asas aktiviti e-dagang termasuk penggunaan aplikasi digital dan mengkomersialkan produk dalam pasaran dalam talian.
Bengkel selama empat hari yang bermula pada 30 September itu, meliputi sesi perkongsian oleh penjual dan penyedia platform e-dagang seperti HeyDomo, Community for Brunei dan Oliz_onigiri, ceramah keselamatan dalam talian oleh ITPSS Sdn Bhd serta taklimat mengenai program-program sokongan perniagaan tempatan Darussalam Enterprise (DARe).
Di samping itu, para peserta juga mempelajari mengenai asas pemasaran digital termasuk asas menyunting foto serta bagaimana platform media sosial seperti Facebook dan Instagram dapat digunakan untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka.
Bengkel itu dipermudahkan oleh TechOne Solutions Sdn Bhd dengan sokongan Pejabat Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.