Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli PEMODA sertai Kalimantan Bike Week

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seorang ahli Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA), Awang Kasnon bin Haji Abdul Fattah telah mewakili Brunei bagi menyertai acara Kalimantan Bike Week (KBW) 2025 – Ride to Nusantara yang akan berlangsung di Balikpapan, Kalimantan Timur.

    Beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini, dan hadir bagi mengucapkan selamat berangkat ialah Naib Yang Dipertua PEMODA, Awang Shahrin bin Shahbudin.

    Ratusan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari seluruh Kalimantan dijangka menyertai acara berprestij tersebut yang akan diadakan selama tiga hari bermula esok  hingga 9 November di Balikpapan Sport and Convention Center (BSCC) Dome.

    Acara anjuran Harley Davidson Club Indonesia (HDCI) Balikpapan itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk konvoi motosikal ke Ibu Kota Nusantara (IKN), konsert percuma kumpulan Dewa 19 bersama Virzha, selain program tanggungjawab sosial dan aktiviti penanaman pokok di kawasan sekitar.

    Penganjuran KBW 2025 bukan sahaja mempertemukan komuniti peminat motosikal berkuasa tinggi dari pelbagai daerah, malah menjadi platform untuk mempromosikan sektor pelancongan, ekonomi kreatif dan pembangunan wilayah Kalimantan Timur, khususnya di kawasan IKN yang sedang pesat membangun.

    Bagi memeriahkan lagi suasana, turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran komuniti motosikal, program kebajikan masyarakat serta acara sukan santai seperti fun run dan pertandingan golf amal.

    Acara tersebut dijangka menjadi perhimpunan besar komuniti motosikal serantau serta wadah memperkukuh silaturahim di samping memperkenalkan potensi pelancongan dan budaya Kalimantan Timur kepada pengunjung luar.

    Dalam pada itu, PEMODA akan terus aktif melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dalam dan luar negara bagi menyemarakkan lagi minat terhadap motosikal berkuasa tinggi dalam kalangan penunggang tempatan.

    Awang Shahrin dan Awang Kasnon sebelum berlepas ke Kalimantan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda