Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli PEMODA sertai konvoi jelajah Indonesia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Ahli Kehormat Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA), Haji Abu Bakar bin Haji Md Arshad, yang juga merupakan mantan Yang Di-Pertua persatuan tersebut, kini berada di Republik Indonesia bagi menyertai program ASEAN Ride 2025 yang telah berlangsung bermula kelmarin hingga 9 Ogos.

    Beliau telah pun berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei baru-baru ini menuju ke Jakarta, sebelum bergabung dengan peserta dari negara-negara ASEAN lain bagi memulakan program jelajah bermotosikal tersebut yang akan merentasi lebih lima buah provinsi di Negara Indonesia.

    Antara destinasi utama yang akan dijelajah semasa program berkenaan adalah kawasan Lampung, Krui, Bengkulu, Sungai Penuh dan kemudiannya berakhir di Padang, Sumatera Barat.

    Sepanjang ekspedisi tersebut, para peserta turut berpeluang untuk menyaksikan sendiri keunikan budaya tempatan termasuk menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun Kota Padang, yang turut dijadualkan berlangsung dalam tempoh sama.

    Penyertaan Haji Abu Bakar dalam program tersebut adalah atas jemputan rasmi daripada Ikatan Motor Besar Indonesia (IMBI) selaku penganjur utama program berkenaan, sebagai satu inisiatif untuk mengukuhkan hubungan persahabatan serantau dalam kalangan komuniti permotoran ASEAN.

    Penyertaan ke acara seperti itu merupakan sebahagian daripada usaha persatuan tersebut untuk terus memupuk minat terhadap aktiviti permotoran, khususnya membabitkan motosikal berkuasa tinggi.

    PEMODA turut menyatakan komitmen mereka dalam menganjurkan pelbagai program dan menyertai aktiviti permotoran di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, demi memperkasakan penyertaan dan jalinan silaturahim dalam kalangan peminat motosikal di negara ini.

    Haji Abu Bakar sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengikuti program ASEAN Ride 2025.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda