Ahli pengakap sampaikan sedekah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Pasukan Pengakap Kelana 1033 hari ini, telah menjalankan Projek Utusan Keamanan: Berkongsi Rezeki dengan hasrat untuk menyampaikan amanah sumbangan atau sedekah seangkat hati daripada sebahagian hamba Allah di negara ini kepada insan-insan yang memerlukan, lebih-lebih lagi pada bulan
Ramadan ini.

Aktiviti kemasyarakatan tersebut diungkayahkan bagi mengumpulkan keperluan makanan asasi untuk diserahkan kepada 30 buah keluarga yang terpilih di Kampung Mata-Mata, Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B.

Sehubungan itu, majlis pelepasan rombongan ahli Pengakap Kelana bagi menyerahkan barangan makanan asasi tersebut telah diadakan di hadapan Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussallam (PPNBD), hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang juga hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi pelepasan rombongan. Seterusnya, Doa Selamat dibacakan bagi memberkati perjalanan rombongan berkenaan.

Turut sama hadir semasa majlis pelancaran berkenaan ialah pesuruhjaya pengakap Daerah Brunei dan Muara, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan penolong pesuruhjaya daerah, pemimpin pengakap dan ahli-ahli Pengakap Kelana.

Pada masa yang sama, pihak penganjur projek turut mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang menyumbangkan barangan keperluan asasi berkenaan dan mendoakan agar segala amalan diterima dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

Haji Awang Badar semasa majlis pelepasan rombongan ahli Pengakap Kelana bagi menyampaikan sumbangan di hadapan Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, kelmarin.