Gambar oleh Pasukan Pengakap Laut 1063
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Dengan hasrat untuk mengenali tempat-tempat menarik bagi kegiatan mengembara (hiking), beriadah serta untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik dalam negara kepada ahli-ahlinya, Pengakap Laut 1063 dan Pasukan Pengakap 1024 telah mengadakan kegiatan mengembara ke Bukit Si Patir, Kampung Subok.
Seramai 20 orang ahli pengakap bersama empat orang pemimpin pengakap, yang diketuai Pemimpin Pasukan Pengakap Laut 1063 Awang Hamdanajib Domeng dan dibantu Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap 1024, Awang Abu Bakar Rahim menyertai kegiatan mengembara berkenaan di mana ia bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali mengenai Bukit Si Patir, Kampung Subok tetapi juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai tempat-tempat riadah dan mengembara yang terdapat di Brunei. Di samping itu, ianya merupakan salah satu aktiviti untuk menda-patkan Lencana Mengembara serta ujian-ujian bagi ahli-ahli pengakap.
Rombongan pengembara berkenaan dialu-alukan oleh ahli-ahli majlis perundingan kampung dan orang-orang perseorangan di kalangan penduduk kampung yang sering membantu pengembara.
Semasa kegiatan mengembara itu, rombongan telah dibawa melalui trek mudah yang melintasi beberapa buah wasai di sepanjang jalan termasuk Wasai Belakang Marang, Bukit Belakang Marang, Bukit Si Patir dan Bukit Belukar Simai.
Di puncak Bukit Si Patir, ahli-ahli pengakap berpeluang untuk bergambar ramai serta menikmati suasana pemandangan yang menarik dan indah. Pasukan Pengakap Laut 1063 menyatakan hasrat untuk terus mengadakan kegiatan hiking di tempat-tempat yang jarang didengar oleh orang ramai dan untuk mengetengahkan lagi tempat-tempat menarik bagi mengadakan kegiatan riadah seperti hiking, khususnya ke luar daerah.
