Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli Pengakap Tunas sertai latihan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Lebih 100 orang ahli Pengakap Tunas dari enam buah sekolah rendah telah menyertai latihan dan ujian bersepadu bagi Lencana Anak Panah Gangsa yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam di Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, hari ini

    Para peserta terdiri daripada ahli-ahli dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Pulaie, Sekolah Rendah Masin dan Sekolah DES.

    Sesi latihan anjuran Bahagian Pengakap Tunas, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNDB) dibahagikan kepada dua bahagian dengan sesi latihan pertama dipecahkan kepada lima pangkalan (base).

    Dalam sesi latihan pertama itu, para peserta diberikan latihan mengenai Pangkalan 1 iaitu mengenali penaung pengakap, ketua pengakap, ketua pesuruhjaya pengakap dan Negara Brunei Darussalam, Pangkalan 2 iaitu mengenali mengenai bendera dan juga panji-panji negara, mewarna bendera dan lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’, Pangkalan 3 iaitu ahli Pengakap Tunas diajar mengenai alam sekitar dan mengenali binatang peliharaan seperti kucing, ikan dan burung, Pangkalan 4 iaitu ahli Pengakap Tunas diajar mengenai ikatan ‘Buku Sila’ serta Pangkalan 5 iaitu ahli Pengakap Tunas diajar mengenai kekemasan di dalam rumah iaitu cara melipat baju dan menyusun kasut di luar rumah.

    Ahli Pengakap Tunas sedang melakukan aktiviti mewarna bendera negara.
    Ahli Pengakap Tunas sedang mendengar penerangan daripada jurulatih semasa sesi latihan kelmarin.

    Menurut Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, latihan yang dijalankan itu bertujuan untuk membantu para pemimpin dan penolong-penolong pemimpin pasukan Pengakap Tunas menjalankan latihan secara bersama dalam mengendalikan perjumpaan latihan mingguan di samping memudahkan pengajaran sistem latihan yang lebih sepadu dan selaras bagi ahli-ahli Pengakap Tunas di dalam mendapatkan anugerah lencana tertinggi Pengakap Tunas.

    Latihan itu telah dibantu oleh semua pemimpin dan penolong pemimpin pasukan Pengakap Tunas yang ikut serta dalam ujian latihan berkenaan. Sesi latihan kedua akan dijalankan pada Jun nanti selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya penilaian bagi ahli-ahli Pengakap Tunas mendapatkan Lencana Anak Panah Gangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda