Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) perlu menyediakan pelan strategik, visi dan misi yang jelas serta juga perubahan minda yang progresif menuju ke matlamat berkenaan.
Dengan persekitaran dunia yang sentiasa berubah-ubah dan penuh cabaran ini, semua ahli perlu bekerjasama dalam menjayakan segala perancangan dan aktiviti yang berdaya saing bagi memperkasakan peranan PGGMB sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang unggul di negara ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Yang Dipertua PGGMB, Haji Yussof bin Haji Mohamad dalam kata alu-aluannya pada perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-70 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian mesyuarat berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 200 orang ahli termasuk ahli jawatankuasa tertinggi dan tadbir serta mantan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB yang berkhidmat dengan persekutuan seawal tahun 1986.

Haji Yussof dalam kata alu-aluannya turut menyatakan bahawa PGGMB juga menubuhkan satu jawatankuasa biro ekonomi yang akan menjadi kumpulan pemikir untuk memajukan serta mempelbagaikan aktiviti-aktiviti ekonomi yang kreatif dan inovatif dalam usaha
mengukuhkan pertumbuhan ekonomi PGGMB ke tahap yang lebih tinggi.
“Laman sesawang PGGMB telah pun selesai dibina sebagai medium interaksi yang pantas, cepat dan berkesan bagi menya-lurkan maklumat terkini kepada semua ahli,” tambah beliau.
Di samping itu, ujar beliau, PGGMB juga telah menjalin kerjasama dan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd dalam usaha untuk menambah nilai serta menaik taraf urus tadbir Syarikat Kerjasama Jimat Cermat dan Bantu-membantu PGGMB di samping merealisasikan penggunaan sistem insurans yang berlandaskan Islam.
Majlis diteruskan dengan perasmian mesyuarat yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dalam mesyuarat berkenaan, jumlah ahli perwakilan dihadkan kepada 66 orang sahaja disebabkan COVID-19 di mana jumlah itu, mewakili enam zon dari Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong, iaitu setiap zon diwakili oleh 11 orang ahli perwakilan.