Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli perniagaan Lubnan dipenjara di Paris

    PARIS, 29 Nov – Seorang ahli perniagaan dari Lubnan semalam telah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana menjadi ketua kumpulan jenayah yang telah mengubah wang dadah Colombia menerusi barang kemas mewah.

    Mohamad Noureddine, berusia 44 tahun yang mempunyai minat dalam hartanah dan barang kemas disabitkan bersalah kerana terlibat dalam pengubahan wang dadah dan konspirasi jenayah dan telah didenda AS$568,000.

    Dia ditahan di Perancis pada Januari 2016 semasa serbuan polis yang turut dilakukan di Itali, Belgium dan Jerman selepas menerima makluman dari Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat.

    Pihak berkuasa AS yang telah menguatkuasakan sekatan terhadap Noureddine mengenai hubungannya dengan kumpulan militan Hezbollah Lubnan, disyaki mempunyai rangkaian yang beroperasi di Amerika Selatan, Eropah dan Timur Tengah sejak 2012.

    Mereka mengenal pasti Perancis menjadi tempat tinggal defendan dan juga menjadi pusat operasi sindiket di Eropah.

    Hasil kutipan penjualan kokaina dikatakan dikumpul di Eropah, kemudian disalurkan ke Lubnan sebelum dihantar kepada penyeludup Colombia.

    Wang tersebut kemudiannya dipindahkan dengan menggunakan sistem pembayaran lama yang dikenali sebagai ‘hawala,’ melalui rangkaian cubaan yang memerlukan kepercayaan yang terlindung.

    Selepas dadah itu dijual, rangkaian tersebut menggunakan operasi hawala untuk mengumpulkan hasil kutipan itu.

    Wang yang dikumpulkan kemudian digunakan untuk membeli barang kemas mewah, jam tangan dan kereta yang kemudiannya dijual di Lubnan atau Afrika Barat.

    Antara individu penting yang tidak hadir dalam kes ini, dikenali sebagai Abbas Nasser, dijatuhi hukuman 10 tahun penjara. Dia menjadi subjek waran tangkap.

    Seramai 12 defendan lain yang terlibat dalam rangkaian jenayah itu turut menerima hukuman penjara sehingga sembilan tahun penjara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda