Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli perniagaan maut diserang singa

    LUSAKA, 1 JUN – Bernd Kebbel, seorang ahli perniagaan Namibia dan dermawan terkenal yang menyokong pemuliharaan hidupan liar maut diserang singa betina ketika menyertai aktiviti safari, menurut Kementerian Pelancongan negara itu dan polis kelmarin.

    Menurut Anadolu Ajansi, AA, Kebbel, 59, sedang berkhemah bersama isterinya, Conny, 57, dan rakan-rakan berhampiran Kem Hoanib Skeleton Coast di kawasan Sesfontein, Wilayah Kunene, kira-kira 700 kilometer di utara ibu negara, Windhoek.

    Ketika isterinya sedang tidur dalam khemah di atas bumbung kenderaan mereka, Kebbel dikatakan keluar untuk membuang air kecil sebelum diserang seekor singa betina, menurut laporan awal pegawai Kementerian Pelancongan dan pihak polis di lokasi kejadian.

    “Kami mengesahkan bahawa Kebbel maut dalam insiden itu,” kata jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Perhutanan dan Pelancongan, Ndeshipanda Hamunyela kepada media tempatan. Dalam kenyataan berasingan, jurucakap polis Namibia, Immanuel Iiduwa, berkata satu kertas siasatan berkaitan konflik antara manusia dan hidupan liar telah dibuka susulan kejadian itu.

    “Terdapat usaha berani daripada rakan-rakannya yang berjaya menghalau haiwan itu, namun segalanya sudah terlambat untuk menyelamatkannya daripada kecederaan parah di leher,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda