KOTA KINABALU, 12 April 2012 – Seorang ahli perniagaan, kerugian hampir RM170,000 apabila kereta jenis Fortuner miliknya dilarikan dua lelaki ketika sedang mengambil wang di mesin ATM di sebuah bank di Jalan Pantai di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11:15 pagi itu, lelaki yang berusia 47 tahun itu meletakkan kereta bersama isterinya di belakang bangunan bank.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt M. Chandra berkata isteri mangsa yang berada di dalam kereta itu turut mengalami kecederaan ringan selepas bergelut dengan seorang daripada suspek.
“Kedua-dua suspek yang tidak bersenjata tiba-tiba muncul dan salah seorang terus membuka pintu kereta dan melarikan kereta itu,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri. Dalam kes berasingan, Chandra berkata seorang nelayan cedera parah selepas bergaduh dengan rakannya kerana berasa tidak berpuas hati di sebuah kapal nelayan berdekatan Pasar Besar Kota Kinabalu di sini.
Mangsa, Mohd Faizal Matiyo, 30, dipercayai ditikam di bahagian dada dalam kejadian kira-kira pukul 4:30 petang itu.
Chandra berkata sebilah keris sepanjang lapan sentimeter, yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu, dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Kecederaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata bahaya.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Elizabeth dan dilaporkan stabil.