Monday, April 22, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Ahli perniagaan rugi lebih RM200,000 angkara ‘phone scam’

    KUALA TERENGGANU, 3 MAC – Seorang ahli perniagaan di Malaysia kerugian RM202,400 selepas menjadi mangsa ‘phone scam’ atau penipuan melalui panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan polis.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata sekitar awal Februari lepas, wanita berusia 47 tahun itu telah dihubungi oleh individu yang mengaku wakil pihak kurier dan polis, serta memaklumkan mangsa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram dan dadah.

    “Mangsa dimaklumkan perlu memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan jika tidak mahu diambil tindakan.

    “Mangsa juga diminta untuk mendedahkan maklumat akaun dan kata laluan perbankan Internet serta membuat beberapa pindahan wang ke akaun yang diberikan. Mangsa kemudian diminta menunggu sehingga ‘siasatan’ selesai dalam tempoh tiga bulan sebelum boleh menggunakan semula akaun bank miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa hanya menyedari diperdaya setelah dimaklumkan oleh ahli keluarganya dan membuat laporan polis pada Rabu lepas apabila mendapati wang di dalam akaunnya telah berkurangan sebanyak RM202,400 serta berlaku 35 transaksi wang tanpa pengetahuannya.

    Sehubungan itu, Mazli menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan telefon dan nombor yang tidak dikenali serta memutuskan panggilan jika berasa takut atau curiga.

    “Semak dengan pihak polis atau syarikat kurier terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan. Jangan dedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parti Presiden Maldives dijangka menang besar dalam pilihan raya

    NEW DELHI, 22 APRIL - Parti Presiden Mohamed Muizzu dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Parlimen Maldives, kelmarin. Menurut media tempatan, parti Muizzu Kongres Nasional...