Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli PGGMB terima sumbangan

    Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

     

    TEMBURONG, 27 Feb – Dalam memeduli hal ehwal kebajikan ahli-ahlinya, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada 11 orang ahlinya yang terjejas dalam kejadian banjir di Daerah Temburong, baru-baru ini.

    Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Ali pada majlis yang diadakan di Dewan Retak, Pusat Belia Pekan Bangar Daerah Temburong, di sini, hari ini.

    Hadir sama di majlis itu ialah Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merussin yang juga terjejas dalam bencana banjir. Mereka yang menerima sumbangan merupakan ahli-ahli yang tinggal di Kampung Paya Bagangan, Kampung Bokok, Kampung Belais dan Buda-Buda di Mukim Bokok, Kampung Parit, Mukim Amo serta ahli-ahli dari Kampung Seri Belayang, Puni, Ujung Jalan, Mukim Bangar.

    Majlis penyerahan sumbangan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Naib Yang Dipertua PGGMB bagi Daerah Temburong, Haji Awang Meramit bin Haji Awang Damit yang kemudian menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Salah seorang mangsa menerima sumbangan daripada Timbalan Yang Dipertua PGGMB, pada majlis yang diadakan di Dewan Retak, Pusat Belia Pekan Bangar, Daerah Temburong.

    Setiausaha Agung PGGMB pula menekankan bahawa PGGMB akan sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya dalam membantu dan memeduli hal ehwal kebajikan ahli-ahlinya termasuk dalam bentuk bantuan derma kebajikan.

    Sumbangan berkenaan diungkayahkan oleh Bahagian Kebajikan PGGMB untuk membantu meringankan bebanan ahli-ahli serta ahli keluarga mereka kerana rumah-rumah turut terjejas akibat banjir besar dan mengakibatkan kerosakan harta benda.

    PGGMB juga berhasrat untuk menghulurkan bantuan yang sama kepada ahli-ahli yang terjejas akibat banjir di daerah-daerah lain, tambahnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda