Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 26 MEI – Dalam sama-sama menceburi bidang jualan kuih-muih sempena musim perayaan, ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong buat julung kalinya telah menjalankan Projek Keusahawanan Kuih Mor dengan meraih hasil yang lumayan, baru-baru ini.
Sehubungan itu, majlis penyampaian hasil pendapatan kepada ahli-ahli yang terlibat telah diadakan di Dewan Serbaguna PKWE Daerah Tutong, baru-baru ini.
Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin menjelaskan bahawa projek berkonsepkan kemahiran dan keusahawanan itu telah dilaksanakan secara bersistematik bermula daripada tempahan dan diikuti dengan proses pembuatan kuih Mor sehinggalah pembungkusannya yang dilakukan sepenuhnya oleh ahli-ahli yang terlibat.
“Alhamdulillah, inilah salah satu projek perintis bagi ahli-ahli kami untuk berjinak-jinak dengan bidang perniagaan bermula secara kecil-kecilan. Ia telah dijalankan bermula pada awal bulan Ramadan sehingga sebelum menjelangnya bulan Syawal.
“Dengan adanya projek sebegini, ia bukan hanya untuk menimba pengalaman sebagai usahawan kuih-muih bagi menjana pendapatan sampingan dan menjadikan produk PKWE Daerah Tutong yang tersendiri bahkan ia juga secara tidak langsung mampu melahirkan sifat bergotong-royong, berkongsi ilmu dan kemahiran dalam kalangan ahli-ahlinya,” tambahnya.
