Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli politik bimbang undang-undang EU bendung penderaan seksual kanak-kanak dalam talian

    BRUSSELS, 18 JUN – Seramai 36 ahli parlimen dari seluruh Kesatuan Eropah (EU) menggesa negara anggota untuk mengundi menentang rancangan eksekutif blok itu yang menghendaki syarikat teknologi memantau platform mereka untuk kandungan penderaan seksual kanak-kanak, dengan alasan kebimbangan keselamatan data, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Dalam surat terbuka kepada dpa, ahli parlimen itu berkata mereka yakin langkah yang dicadangkan tidak selaras dengan hak asasi EU.

    Suruhanjaya Eropah pada 2022 mencadangkan Peraturan untuk Mencegah dan Memerangi Penderaan Seksual Kanak-kanak, yang bertujuan untuk membendung penyebaran bahan yang menggambarkan penderaan seksual kanak-kanak.

    Undang-undang itu akan mewajibkan platform media sosial mengimbas sembang peribadi yang disulitkan pada platform media sosial untuk pengecam tertentu yang mungkin menunjukkan kegiatan merapati kanak-kanak atau perkongsian bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan. Di bawah undang-undang semasa, pemantauan aktiviti dalam talian adalah secara sukarela.

    Pengkritik mengecam langkah yang dicadangkan sebagai ‘pengawalan sembang’ dengan alasan ia merupakan usaha untuk mengimbas semua komunikasi dalam talian, termasuk mesej yang disulitkan, yang menimbulkan kebimbangan pengawasan massa.

    Wakil negara anggota EU dijangka membincangkan isu itu pada Rabu.

    Surat terbuka, yang menggesa ahli parlimen untuk mengundi menentang cadangan itu, ditandatangani oleh penggubal undang-undang dari parlimen negara serta parlimen Eropah, termasuk dari Jerman dan Austria. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda