COLOMBO, 22 OKT — Seorang ahli politik pembangkang Sri Lanka maut selepas ditembak di pejabatnya hari ini menjadikannya mangsa pertama dalam siri pembunuhan yang menyasarkan tokoh politik di negara itu tahun ini.
Mangsa, Lasantha Wickramasekara, 38, yang juga Pengerusi Majlis Bandar Weligama, ditembak beberapa kali oleh seorang lelaki bersenjata ketika sedang bertemu pengundi di pejabatnya.
Menurut kenyataan polis, tiada individu lain cedera dalam kejadian itu dan suspek melarikan diri sejurus selepas melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit,” kata jurucakap polis, sambil menambah motif serangan masih belum dikenal pasti.
Wickramasekara merupakan anggota parti pembangkang Samagi Jana Balawegaya (SJB) yang kini terlibat dalam pertikaian kuasa dengan parti pemerintah bagi menguasai Majlis Weligama.
Sri Lanka ketika ini berdepan peningkatan kadar jenayah ganas, kebanyakannya berpunca daripada kegiatan kumpulan dadah dan jenayah terancang.
Data rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya 50 individu terbunuh dalam lebih 100 insiden tembakan sejak awal tahun ini.
Pembunuhan tersebut juga merupakan kes pertama membabitkan ahli politik sejak kerajaan Presiden Anura Kumara Dissanayake mengambil alih pentadbiran tahun lalu dengan janji untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam.
Antara serangan paling berani direkodkan pada Februari lalu apabila seorang lelaki menyamar sebagai peguam menembak mati suspek di dalam bangunan mahkamah di Colombo. – AFP


