Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli profesional kesihatan masih belum mencukupi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Ke arah pengukuhan sistem kesihatan negara yang mantap dengan menyediakan kepakaran-kepakaran yang disesuaikan, Kementerian Kesihatan telah mencatatkan peningkatan jumlah ahli profesional kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan Kementerian Kesihatan mencatatkan seramai 806 doktor dan doktor pergigian; 2,557 jururawat; dan 416 orang ahli profesional kesihatan bersekutu yang lain.

    “Ia adalah satu peningkatan jika dibandingkan dengan tahun kewangan 2020/2021.

    “Alhamdulillah dengan meningkatnya jumlah profesional kesihatan, beberapa perkhidmatan kesihatan dapat diperkembangkan lagi dalam pelbagai disiplin dan kepakaran yang antara lain termasuk perubatan sukan, penjagaan paliatif, kepakaran dalam penyakit-penyakit berjangkit dan perkhidmatan pemindahan organ yakni pemindahan organ khususnya buah pinggang.

    “Walaupun secara kasarnya, jumlah profesional kesihatan terus meningkat dari tahun ke tahun namun ia masih belum mencukupi,” katanya semasa menyampaikan ucapan mukadimah di permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara pagi tadi.

    Antara sebabnya ialah perkembangan dan penambahan jenis-jenis perkhidmatan kepakaran yang disediakan di hospital-hospital dan klinik-klinik.

    Ketika mengongsikan mengenai RKN ke-11, beliau menyatakan, projek Pembinaan Blok Baharu Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong yang dijangka siap April ini akan menambah jumlah bilik-bilik konsultasi bagi perkhidmatan penjagaan asasi dan perkhidmatan ibu-ibu dan kanak-kanak seperti bilik pengasingan dan tambahan ruang bagi konsultasi pemakanan, psikologi, psikiatri, klinik berhenti merokok dan pergigian.

    Dengan adanya tambahan-tambahan ini, para pesakit akan dapat menjalani rawatan dalam keadaan yang lebih selesa dan waktu menunggu bagi para pesakit juga akan dapat dikurangkan.

    Manakala di Daerah Belait, pembinaan bangunan perkhidmatan kecemasan yang baharu di Hospital Suri Seri Begawan akan dimulakan sedikit masa lagi dan dijangka akan siap pada pertengahan tahun hadapan.

    Pembinaan bangunan baharu ini akan memberikan kawasan yang lebih luas dan selesa bagi para pesakit dan ahli keluarga mereka yang datang mendapatkan rawatan di Bahagian Kemalangan dan Kecemasan di hospital berkenaan.

    Sementara itu, Makmal Klinikal Diagnostik Molekular bagi Penyakit Berjangkit di Daerah Tutong juga telah siap dibina, dilengkapi dengan kelengkapan peralatan-peralatan makmal virologi yang canggih dan telah mula digunakan pada bulan November 2021.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda