Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Institut Juruukur, Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Presiden, Sr Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman dan Naib Presiden / Pengerusi Institut Juruukur Sr Hajah Hajijah binti Haji Salleh; Setiausaha, Sr Aaron Wong Chuan Xing; General Member 3, Sr John Wing Chee Kwong; QS Muda Nur Zahirah binti Haji Affendi; QS Muda Nadia Ezzah binti Haji Amer Hamzah dan Sr Francis Lau Choo Yew telah menghadiri Kongres Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS) ke-29 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 22 hingga 26 Ogos lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PUJA (Brunei), di sini, pegawai-pegawai kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pertahanan iaitu Sr Dayang Noor Nazurah Zatulhimmah binti A.Matassim, Nurul Faizah binti Jamalludin, Awang Muhammad Eddie bin Wasli, Hajah Rozatini binti Haji Marusin dan Nurul Hayati binti Abdul Rahman juga menghadiri acara berkenaan.
PAQS merupakan organisasi ukur bahan dikenali dunia yang merangkumi 15 anggota institusi ukur bahan profesional dari 14 buah negara iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Fiji, Korea Selatan dan Afrika Selatan. Ahli-ahli institusi profesional bersekutu termasuk mereka daripada Eropah.
Kongres itu dihadiri oleh seramai kira-kira 280 peserta yang meliputi profesional, saintis, juruukur bahan, ahli teknologi, pelajar dan ahli akademik dari seluruh dunia.
Kongres PAQS ke-29 dihoskan oleh Ikatan Quantity Surveyor Indonesia (IQSI) dengan membawa tema, Harnessing AI and Digital Technology for Smart Construction Towards Net Zero, Decarbonizing and Innovative Building Materials, di mana ia menyaksikan pembentangan pelbagai kertas kerja teknikal.
yang meliputi kecerdasan buatan, pembangunan QS, masa depan belia, pelaksanaan bangunan hijau, Building Information Modelling (BIM), kemampanan, pengurusan perubahan, amalan industri masa kini, pendidikan, ekonomi, pengurusan kontrak serta kerjaya kalis masa depan. Di samping itu, para peserta juga menyertai sesi lawatan tapak teknikal.
Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Sr Haji Mohammad Hanafi juga dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PAQS dalam mengiktiraf komitmen, profesionalisme dan dedikasi cemerlangnya dalam menyampaikan perkhidmatan luar biasa bagi profesion persekitaran binaan.
Beliau telah memperkenalkan PAQS buat kali pertama setelah menghadiri Kongres PAQS ke-4 di Cairns, Australia dan sejak itu, telah mempromosikan penyertaan serta kolaborasi dengan PAQS untuk pendedahan, kesedaran dan pertumbuhan dalam rantau pasifik.
Menerusi penyertaan dan sokongan bertahun-tahun bagi setiap organisasi, Institut Juruukur PUJA (Brunei) dan institusi anggota PAQS telah mendapat manfaat daripada hubungan erat, perkongsian amalan dan idea serta juga hasil dapatan penyelidikan masing-masing.
Institut Juruukur, Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), adalah juga ahli kepada ASEAN Quantity Surveyors Association (AQSA), sebuah badan kolektif yang mewakili juruukur bahan, jurutera kos dan ahli ekonomi pembinaan daripada negara-negara anggota ASEAN.







