“SAYA memintanya untuk memaafkan kami malah saya juga menangis ketika mengusapnya buat kali terakhir,” kata ahli biologi Rusia yang berusia 90 tahun, Adilya Kotovskaya ketika mengingatkan kembali pada hari di mana dia mengucapkan selamat tinggal kepada anjing angkasa, Laika.
Bekas anjing jalanan itu telah mencipta sejarah dunia sebagai haiwan yang pertama dibawa ke angkasa dan mengelilingi orbit. Kesatuan Soviet telah membawa Laika ke ruang angkasa pada 3 November 1957 iaitu enam puluh tahun yang lalu.
Namun rancangan yang dirancang tidak berjalan sebagaimana yang telah dirancang apabila anjing itu hanya mampu bertahan selama beberapa jam selepas mengelilingi bumi sebanyak sembilan kali.
“Sembilan orbit menjadikan Laika sebagai angkasawan haiwan yang pertama dunia namun terkorban disebabkan oleh kejayaan misi untuk angkasawan masa depan,” kata Adilya yang tetap bangga dengan pencapaian Laika. Bagi ketua kepimpinan Soviet, Nikita Khrushchev, pelayaran Laika merupakan satu lagi ruang untuk mengecewakan pihak kerajaan AS.
Adilya masih lagi ingat sebelum kehadiran Laika, sebenarnya ada beberapa ekor anjing telah dicuba dan dibawa ke ruang angkasa untuk tempoh yang singkat bagi memastikan adakah haiwan-haiwan ini akan mampu bertahan dengan keadaan berat badannya.

“Namun sekarang, sudah tiba masanya untuk membawa lagi seekor anjing ke ruang angkasa lepas,” kata Adilya yang berusia 90 tahun pada Oktober yang lalu dan masih lagi mengetuai sebuah makmal di Institut Masalah Biomedik Moscow.
Institut ini mengkhususkan dalam sains angkasa dan telah mensimulasikan penerbangan ke Marikh pada tahun 2010 dengan beberapa sukarelawan angkasa yang telah menghabiskan masa selama 520 hari secara berasingan di tanah itu.
Bagi memastikan keadaan anjing terus baik, Adilya dan rakan seperjuangan menyarankan untuk memindahkan haiwan itu ke sangkar yang lebih kecil. Calon-calon anjing akan diuji dengan menghabiskan masa dalam sentrifuge dengan ketahanan daya G ketika roket dilepaskan.
Laika adalah seekor anjing yang berusia sekitar tiga tahun dengan berat enam kilogram. Sama seperti semua calon anjing, Laika merupakan anjing jalanan yang ditemui di jalan Moscow. “Kami memilih anjing betina kerana anjing ini tidak perlu menaikkan kaki untuk membuang air kecil dan kami memilih Laika kerana ia kelihatan seperti seekor anjing yang sangat bijak dan kurang cerewet,” kata Adilya kepada wartawan media.


Kepanasan dan juga keletihan
“Kami sudah tahu bahawa Laika akan menemui ajalnya semasa dalam penerbangan dan melihatkan situasi itu, pada malam sebelum misi itu dijalankan, Laika dilayan dengan begitu baik sekali malah beberapa orang saintis mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Roket Sputnik yang membawa Laika berlepas ke ruang angkasa pada jam 5.30 pagi waktu Moscow dan ketika itu, keadaan seperti yang dirancang dan sudah tentu semasa waktu perlepasan, keadaan jantung Laika agak sedikit laju namun selepas tiga jam, keadaan jantung Laika kembali seperti biasa,” kata Adilya mengingat kembali peristiwa itu.
Kemudian tiba-tiba semasa mengelilingi orbit untuk kesembilan kali, suhu di dalam kapsul mula melambung tinggi dan mencapai lebih daripada 40 darjah Celsius. “Harapan kami adalah untuk melihat Laika untuk terus hidup selama lapan hingga 10 jam namun sebaliknya, Laika mati akibat terlalu panas dan dehidrasi selepas beberapa jam,” tambah Adilya lagi kepada media.
Namun Soviet radio ketika itu menyiarkan bahawa Laika dalam keadaan yang baik-baik sahaja namun kenyataan rasmi telah dibuat bahawa Laika mati selepas makan racun yang diberikan dalam makanannya untuk mengelakkan kematian yang menyakitkan apabila masuk semula ke atmosfera bumi. Moscow telah mengekalkan kenyataan ini selama bertahun-tahun.
Satelit yang membawa Laika masih berlegar di ruang angkasa selama lima bulan dan meletup pada 14 April 1958 di atas ruang udara Pulau Antilles.
Haiwan pertama yang berjaya memasuki ruang angkasa dan kembali semula ke dunia adalah sepasang anjing yang dikenali dengan nama Belka dan Strelka yang telah berlepas ke ruang angkasa pada 19 Ogos 1960 dan kembali sehari kemudian.
Namun di atas kejayaan misi itu telah memujuk pihak berkuasa Soviet untuk meneruskan perjalanan ruang angkasa yang sangat berisiko oleh manusia, Yury Gagarin pada bulan April 1961. – AFP