Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kajian terhadap manuskrip Islam di Alam Melayu membuktikan bahawa pegangan akidah masyarakat Islam sejak awal di rantau ini adalah berasaskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) aliran al-Ashari dan al-Maturidi, bukannya pengaruh Syiah seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Hasil dapatan berkenaan dikemukakan oleh Penolong Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dato’ Dr Muhammad Ayman Al-Akiti semasa pembentangan kertas perdana bertajuk Sumbangan Data Kodikologi dan Filologi Dalam Kajian Ahli Sunnah Wal Jamaʻah di Alam Melayu” pada Persidangan Antarabangsa Islam di Alam Melayu Kali ke-14 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Menurut beliau, bukti kukuh daripada kajian kodikologi dan filologi terhadap pelbagai manuskrip membuktikan bahawa ajaran Islam di Alam Melayu berakar umbi daripada tradisi ASWJ yang menekankan keseimbangan antara akidah, fiqah dan tasawuf.
“Dakwaan bahawa Islam mula bertapak di Alam Melayu melalui pengaruh Syiah adalah tidak berasas. Kajian manuskrip menunjukkan bahawa aliran akidah yang diterima sejak awal lagi ialah ajaran al-Ashari, dengan pengamalan Mazhab Syafi’i dalam fiqah, serta penghayatan tasawuf menurut manhaj Imam Al-Junaid dan Imam Al-Ghazali,” jelas beliau.
Beliau menambah, kodikologi meneliti aspek fizikal manuskrip seperti bahan, tulisan, dan catatan pemilik, manakala filologi memberi fokus terhadap penyemakan isi kandungan dan konteks penulisan.
Gabungan antar kedua-dua kaedah itu membolehkan penyelidik menentukan kesahihan teks serta memahami pegangan akidah masyarakat Islam terdahulu dengan lebih tepat.
Antara manuskrip penting yang dikaji ialah Bahr al-Lahut karya Syeikh ʻAbdullah ʻArif, yang diiktiraf sebagai salah satu sumber terawal ilmu tasawuf di Alam Melayu. Manuskrip tersebut menegaskan ajaran Nur Muhammad bukan sebagai pegangan Syiah, tetapi selaras dengan pandangan ulama ASWJ, termasuk Imam Al-Ghazali dan Syeikh Abd Al-Qadir Al-Jaylani.
“Konsep Nur Muhammad yang terdapat dalam manuskrip ini perlu difahami dalam kerangka tasawuf Sunni yang sahih, bukan ditafsirkan secara ekstrem atau menyeleweng,” tegas beliau.

Kajian turut mendapati bahawa Bahr al-Lahut tersebar luas dan menjadi rujukan penting di pelbagai wilayah Islam termasuk Aceh, Pattani, Kelantan dan Kedah, serta disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan British dan Universiti Leiden, menandakan pengaruh besar karya tersebut terhadap pembentukan pemikiran Islam di rantau ini.
Dalam pembentangan tersebut, beliau turut menolak dakwaan sesetengah sarjana Barat yang menyatakan bahawa Islam mula bertapak di Kesultanan Perlak melalui pengaruh Syiah. Sebaliknya, bukti manuskrip dan tradisi keilmuan menunjukkan bahawa Islam dibawa oleh para ulama Sunni, yang mendukung ajaran ASWJ berteraskan kesederhanaan, toleransi dan kesepaduan ilmu.
“Kajian terhadap teks-teks klasik menunjukkan kesinambungan yang jelas antara tradisi ulama terdahulu dengan para sarjana moden di Alam Melayu. Ia menzahirkan kekuatan identiti Islam tempatan yang teguh berpegang kepada prinsip akidah sahih,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, melalui penelitian manuskrip dan kaedah ilmiah ini, masyarakat Islam di rantau ini dapat memahami asal-usul pegangan mereka dengan lebih mendalam serta mempertahankan warisan keilmuan daripada pengaruh luar yang tidak selaras dengan manhaj ASWJ.
Kajian seumpama ini juga membantu memperkukuh jati diri Islam di Alam Melayu, di samping memelihara keaslian ajaran dan amalan yang telah diwarisi sejak ratusan tahun lamanya.
“Warisan manuskrip bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi menjadi sumber penting dalam memelihara kesinambungan ilmu Islam yang bersanad, sahih, dan berteraskan nilai-nilai rahmatan lil alamin,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak penyelidikan dilakukan terhadap manuskrip Islam di rantau ini bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap warisan intelektual ulama Melayu dan memastikan ajaran Islam yang dibawa kekal dalam kerangka akidah ASWJ.

