Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ahli terapi tampar’ dipenjara 10 tahun

    LONDON, 8 DIS – Seorang pengamal rawatan alternatif dipenjarakan 10 tahun pada Jumaat lalu di Britain kerana menyebabkan kematian seorang wanita diabetes yang berhenti mengambil insulin dan mengalami komplikasi perubatan di pusat terapi miliknya.

    Hongchi Xiao, 61, dari Cloudbreak, California, telah disabitkan pada Julai oleh juri di Winchester, selatan England, atas kesalahan membunuh kerana kecuaian selepas dia gagal mendapatkan bantuan perubatan untuk Danielle Carr-Gomm, 71.

    Dia didakwa pada November tahun lalu, berikutan kematian semasa sesi pada Oktober 2016 untuk membantu mangsa yang menghidap diabetes.

    Juri mendapati Xiao telah membunuh pesakit itu semasa mengadakan sesi ‘paida lajin,’ yang melibatkan pesakit ditampar atau menampar diri sendiri secara berulang kali.

    Pengamal perubatan alternatif itu gagal menjalankan amanah menjaga Carr-Gomm dengan gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan bantuan perubatan ketika dia mengalami krisis perubatan, iaitu ketoasidosis.

    Gambar Envato

    Xiao, yang dilahirkan di China, telah menafikan pertuduhan itu.

    Hakim Robert Bright berkata dia menjatuhkan hukuman itu berdasarkan fakta bahawa Xiao tahu Danielle Carr-Gomm telah berhenti mengambil insulinnya.

    Xiao melakukan sedikit usaha supaya pesakit itu mengambil insulin, dan tidak menunjukkan rasa kesal ketika dia mengamal dan mempromosikan ‘paida lajin’ di penjara secara berterusan, tambahnya.

    “Saya menganggap dia berbahaya walaupun tidak menunjukkan ciri-ciri sepertimana yang terdapat pada kebanyakan pesalah berbahaya lainnya,” kata Bright.

    Dia juga mengenakan hukuman lima tahun lagi ke atas Xiao atas lesen lanjutan atau pengawasan selepas tamat masa penjata. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda